Trip Pergnungan Argopuro 26-30 Ogos 2023

 

Pada 26 hingga 30 Ogos saya dan suami telah mengikuti trip Pergunungan Agropuro bersama 12 orang rakan dari Malaysia dengan menggunakan khidmat guide Mas Yohnny dari Denali Adventure, khidmat yang sama sebelum ini semasa trip Gunung Raung.

25 Ogos 2023

4 pagi bertolak ke KLIA menggunakan khidmat Grab dan terus ke kaunter Malaysia Airline untuk dropoff luggage. Trip bermula 26 Ogos, tetapi kami bergerak awal sehari dan bermalam di Bumi Surabaya City Resort. Ia merupakan resort bandar klasik di tengah-tengah bandar atau hanya 40 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda. Ia menggabungkan taman yang menawan dengan pokok-pokok matang dan laluan air untuk menenangkan deria di tengah-tengah kesibukan pusat bandar Surabaya. Kami sampai di Bumi Surabaya City Resort sekitar 12 pm, tumpang luggage dan berjalan sekitar bandar Surabaya.

Pada petang nya, saya mengambil khidmat urutan klasik Indonesia di Resort ini.






26 Ogos 2023

Keesokan pagi, van Denali Adventure datang menjemput kami dan Datuk K serta Irene yang juga datang sehari awal dan menetap di hotel berdekatan. Perancangan awal, van yang membawa kami singgah ke Eiger berdekatan dan sepatutnya berjumpa dengan rakan2 lain yang sampai dari Malaysia pada hari ini.

Walau bagaimanapun, kami berjumpa di pertengahan perjalanan di Alfa Mart dan menuju ke restoran untuk makan tengahari dan solat jamak zohor asar.

Perjalanan diteruskan menuju ke Basecamp yang memakan masa lebih kurang 6-7 jam.  Kami singgah di RnR Utama Raya untuk makan malam dan solat dan sampai Basecamp Baderan sekitar 12 tengah malam.








27 Ogos 2023
Bermalam di Basecamp Baderan, setelah siap solat subuh dan sarapan, perjalanan kami bermula sekitar jam 7:00 am dengan menaiki ojek ke Shelter Mata Air 1.
Dimulakan perjalanan dengan bacaan doa, kami sampai ke Mata Air 2 pada ketinggian 2100 mdpl sekitar 9:00 am.
Pendakian diteruskan sehingga kami sampai ke Savana Kecil sekitar jam 11 am pada ketinggian 2280 mdpl. Kami berhenti di sini untuk makan tengahari.
Kami sampai ke Savana Besar pada ketinggian 2330 mdpl sekitar 1:00 tengahari dan berhenti seketika untuk berehat dan mengambil gambar.
Perjalanan diteruskan dengan pendakian dan penurunan lereng gunung, savana serta menyusuri Sungai Qalbu dan akhirnya sampai ke Cikassur untuk bermalam pada hari pertama di sini.
Cikasur adalah savana paling luas di jalur pendakian Gunung Argopuro dan merupakan salah satu pos pendakian menuju Gunung Argopuro.
Menurut sejarah Cikasur dulunya juga adalah sebuah lapangan udara di ketinggian 2200 meter di atas permukaan laut di Pulau Jawa yang diberi nama Lapangan Udara Cikasur semasa pemerintahan Belanda. Namun, pembinaan lapangan terbang tergendala setelah kedatangan pemerintahan Jepun.












28 Ogos 2023

Mendaki Gunung Argopuro mempunyai cabaran yang tersendiri. Meskipun bukan gunung tertinggi, Gunung Argopuro dikenali dengan trek pendakian terpanjang di Pulau Jawa yaitu sekitar 40 km.
Gunung Argopuro adalah gunung berapi yang berada di lima wilayah administratif yakni, Kabupaten Probolinggo, Bondowoso, Lumajang, Jember dan Situbondo, Jawa Timur. Ketinggian Gunung Argopuro mencapai 3.088 meter di atas permukaan laut (mdpl).
Berada di antara Gunung Semeru dan Gunung Raung, Gunung Argopuro adalah bekas gunung api yang sudah tidak aktif lagi. Gunung ini berada di kawasan Suaka Margasatwa Pegunungan Hyang.
Bermalam di Cikasur terasa kedinginannya dengan ditemani kicauan burung. Kami difahamkan perjalanan pada hari kedua ini agak panjang.
Selepas solat subuh dan bersarapan, perjalanan Cikasur ke Cisentor mengambil masa lebih kurang 4 jam. Namun, disajikan pemandangan yang memukau sepanjang trek, perjalanan kami agak santai penuh dengan gurau senda dan berhenti mengambil gambar buat kenangan.
Sebelum sampai ke shelter di Cisentor, terdapat sungai kecil yg jernih airnya. Disini kami berhenti untuk makan tengahari dan solat.
Perjalanan diteruskan ke Rawa Embik tempat bermalan pada malam kedua dan kami sampai lebih kurang jam 4 pm. Sudah tentu, selepas menempuh trek yang panjang dan memenatkan, terasa nyaman dan keseronokan apabila diberi ganjaran dengan landskap yang mempesona dan eksotik.
Digabungkan pula dengan suasana pergunungan yang dingin. Namun, sesiapa yg berhajat untuk bermalam di sini, pastikan anda bersedia dengan cuaca yg teramat dingin sepanjang malam.
Tips hiking pergunungan yang bahagia🥰:
1. Hormati dan pastikan ikut arahan daripada ketua anda
2. Hormati dan pastikan ikut arahan daripada guide anda
3. Saling berkasih sayang dan faham memahami bersama team hiking anda kerana mereka adalah keluarga anda sepanjang ekspedisi
4. Pendakian pergunungan mempunyai risiko tersendiri, berhati-hati sepanjang perjalanan dan pastikan sentiasa bersama pasukan kerana tiada siapa cepat siapa lambat sepanjang perjalanan ini melainkan kebersamaan.



29 Ogos 2023
Bermula jam 7:00 am, selepas solat dan sarapan kami memulakan pendakian dari Rawa Embik 2775 mdpl ke Savana Loncheng 2975 mdpl dan sampai sekitar 9:00 am.
Savana Loncheng terletak antara dua puncak: Rengganis dan Argopuro. Pendakian puncak pertama ialah Rengganis (3030 mdpl) mengambil masa sekitar 30-45 minit.
Puncak Dewi Renganis ini, konon merupakan bekas kawah belerang dan menggandungi nilai sejarah yang masih belum terungkap. Dewi Rengganis adalah putri Raja Brawijaya (Raja Majapahit) yang sangat disayangi.
Di sini terdapat peninggalan istana Dewi Rengganis termasuk teres teres dan tempat pemujaan dewi. Bukan itu sahaja, anda juga akan menemui sebuah tasik yang dikatakan sebagai taman permainan dan tempat mandi Dewi Rengganis.
Selepas bergambar, kami turun semula ke Savana Loncheng dan memulakan pendakian puncak Argopuro yang agak lebih curam dibandingkan puncak Rengganis.
Kami sampai ke Puncak Argopuro (3088 mdpl) sekitar 12:00 tghari dan di sini juga kami berhenti untuk makan tengahari.
Penurunan dan pendakian gunung yang seterusnya (ketiga) adalah ke Puncak Hyang atau Puncak Arca (3030 mdpl) dan kami sampai sekitar 1:00 pm.
Setelah berehat seketika dan bergambar di Puncak Arca atau Hyang, kami meneruskan perjalanan ke Pos Cemoro Lima dan seterusnya ke Pos Taman Hidup yang merupakan pos terakhir untuk pendakian kami.
Penurunan adalah sangat mencabar disebabkan cerun yang curam di samping tanah debu yang halus. Apabila kami sampai Cemoro Limo, suasana masih terang dan perjalanan di teruskan dengan jalan yang agak landai tetapi kami perlu melalui lereng-lereng gunung untuk sampai ke Taman Hidup, tapak perkemahan pada malam ketiga.
Lebih kurang 30-45 min sebelum sampai ke Taman Hidup, kami dapati beberapa orang porter kami telah menunggu, mungkin risau atas keselamatan kami berjalan di dalam hutan ketika waktu telah gelap.
Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Taman Hidup lebih kurang jam 7:00 mlm, suatu perjalanan yang panjang selama lebih kurang 12 jam.



















30 Ogos 2023
Bermalam di Taman Hidup (1973 mdpl) tidaklah sedingin di Rawa Embik. Tasik Taman Hidup mempunyai ikon tersendiri bagi sesiapa yang mendaki Gunung Argopuro.
Di sini terdapat sebuah jeti kayu lama yang menjadi tarikan utama pengunjung, terutamanya ketika kabus turun. Di Tasik Taman Hidup, pendaki dapat merasai udara segar dan cuaca yang sedikit berkabus. Bukan itu sahaja, tasik ini juga mempunyai suasana yang tenang dan indah. Ini menjadikan tasik ini sesuai untuk relaksasi diri.
Selepas bersarapan jam 9 am, saya memilih untuk turun ke basecamp Bremi secara "roller coaster ride" menggunakan khidmat ojek. Menurut pemandu, perjalanan mengambil masa dalam 2 jam. Perjalanan memang amatlah mencabar dengan jalan yg sempit, curam serta laju.
Walau bagaimanapun di pertengahan perjalanan, jalanraya adalah mendatar sedikit dan bertar. Masyarakat Desa Bremi kebanyakan adalah petani. Disebabkan kedudukan geografinya, dengan tanah yang luas dan subur, sumber aktiviti masyarakat di sini adalah pertanian sayuran seperti kentang, kobis, cili, tomato, bawang, kopi dsb.
Di samping pertanian, penternakan lembu juga diusahakan untuk penghasilan susu lembu yang berkualiti.
Saya sampai di Basecamp Agropuro Bremi 970 mdpl sekitar 10:00 am dan merasa agak canggal berada seorang diri di situ. Sedang asyik saya melihat handphone kerana di sini barulah dapat signal, dalam 30 minit kemudian kelihatan beberapa rakan hiking Agropuro kami yang turun dengan ojek.
Kami menikmati juadah di kedai2 berhampiran seperti susu segar, bakso panas, alpukat dan lain2 sementara menunggu rakan2 lain sampai dan juga van Denali Adventure sampai dan seterusnya mengemas barang2 hiking untuk bergerak ke hotel di Surabaya.
Setelah selesai, kami bertolak ke Surabaya sekitar tengahari. Kami berhenti di Ayam Bakar Wong Solo jam 3:30 pm untuk solat dan makan tengahari.
Perjalanan diteruskan dan sekitar waktu maghrib kami sampai Hotel New Cahaya yang jaraknya 15 minit ke Juanda International Airport dan bermalam di sini untuk persediaan pulang ke Malaysia keesokan hari.
Catatan Agropuro ini disimpan di sini untuk kenangan kemudian hari. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada:
- Ketua rombongan Trip Bahagia Argopuro Anna Marlina kerana berjaya merancang serta mengendalikan trip ini untuk kami seramai 14 orang
- Hiking Guide kami Mas Yohny Kurnianto serta team Denali Adventure yang menjaga kebajikan kami sepanjang ekspedisi
- Keluarga Trip Bahagia - kakak, adik2 serta anak2 yang sporting dan sering menjaga kebajikan kami bersama-sama.
Alhamdulillah, syukur atas rahmat kurniaan Allah swt ke atas kami selamat sepanjang ekspedisi.




















Bunga Edelweis
Bunga Edelweis atau bernama latin Anaphalis javanica merupakan satu tumbuhan yang kerap ditemukan di daerah pegunungan.
Bunga Edelweiss, Bunga Abadi Edelweiss ialah tumbuhan yang kukuh dan kuat. Ia boleh tumbuh di cerun tandus dan juga kawasan terbuka seperti puncak dan kawah. Ia boleh hidup dalam persekitaran dengan kandungan nutrien yang rendah.
Bunga Edelweiss juga tidak mudah layu atau rosak walaupun dipetik dari batangnya. Bunga Edelweiss dipanggil bunga abadi kerana ia boleh mekar selama 10 tahun.
Kewujudan bunga Edelweiss di Indonesia telah wujud selama 200 tahun. Bunga ini pertama kali ditemui oleh naturalis Jerman bernama Georg Carl Reinwardt. Dia menemuinya ketika berada di lereng Gunung Gede, Jawa Barat.
Kenapa Edelweis tidak boleh dipetik?
Ada beberapa alasan kenapa bunga Edelweis tidak boleh dipetik. Salah satunya adalah karena keberadaannya di kawasan konservasi. Secara perundang-undangan, segala sesuatu, baik hewan maupun tumbuhan yang ada di kawasan konservasi dilindungi undang-undang.
Habitat Edelweis
Umumnya Bunga Edelweiss bisa kita temukan di ketinggian antara 1.600 hingga 3.600 mdpl.
Trip Pergnungan Argopuro 26-30 Ogos 2023





Pergunungan Argopuro




Comments

Popular posts from this blog

Gunung Senyum 9/9/2017 - How I started my adrenaline rush adventure

Mount Kinabalu – The Amazing Journey

Gunung Datuk for The Amazing View